Jumaat, 25 Mac 2011

Ibadah Ahli Syurga~...


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Nasa'i,Anas bin Malik menceritakan satu peristiwa yang dialaminya dalam sebuah majlis bersama Rasulullah s.a.w.

                  Suatu hari sewaktu para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w.,Baginda bersabda yang bermaksud: "Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang penghuni syurga."

                  Seketika kemudian muncul lelaki Ansar yang janggutnya basah dengan air wuduknya.Dia mengikat kedua-dua sandalnya pada tangan sebelah kiri.

                   Keesokan hari,Rasulullah s.a.w. mengulangi perkataan yang sama: "Akan datang seorang lelaki penghuni syurga."Dan muncul juga lelaki yang sama.Begitulah Nabi mengulangi sehingga tiga kali.

                   Seusai majlis Rasulullah s.a.w. itu,Abdullah Bin Amr bin al-Ash r.a. mengikuti lelaki yang disebut oleh Nabi itu.Beliau cuba mencari helah untuk tinggal bersamanya.

                   "Saya bertengkar dengan ayah saya,dan saya berjanji kepada ayah saya bahawa selama tiga hari saya tidak akan menemuinya.Bolehkah kamu memberi tempat perlindungan kepada saya selama tiga hari itu?" pinta Abdullah bin Amr bin al-Ash kepada lelaki itu.

                     Abdullah diizinkan oleh orang itu untuk bermalam di rumahnya dan tidurlah di rumahnya selama tiga malam.Selama itu Abdullah ingin menyaksikan ibadah apakah yang dilakukan oleh orang itu sehingga dia dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai penghuni syurga.Tetapi selama itu juga dia tidak menyaksikan sesuatu apa yang istimewa dalam ibadahnya.

                     Kata Abdullah: "Setelah tiga hari aku tidak melihat amalannya sehingga aku hampir meremehkan amalannya,lalu aku berkata: 'Hai hamba ALLAH!Sebenarnya aku tidak bertengkar dengan ayahku dan tidak juga aku menjauhinya.Tetapi aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda berkata tentang dirimu sebanyak tiga kali, 'Akan datang seseorang daripadamu sebagai penghuni syurga.' Aku ingin memerhatikan amlanmu supaya aku dapat menirunya.Mudah-mudahan dengan amalan yang sama aku mencapai kedudukanmu.' Berkata lelaki tersebut: 'Apa yang aku amalkan tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan.'

                     Ketika aku mahu pulang,dia memanggilku sambil berkata: "Demi ALLAH amalku tidak lebih daripada yang engkau saksikan itu.Hanya aku tidak menyimpan niat buruk terhadap kaum Muslim,dan aku tidak pernah menyimpan rasa dengki atas kebaikan yang diberikan oleh ALLAH atas mereka."

                     Lalu aku berkata, "Begitu bersihnya hatimu daripada perasaan buruk terhadap kaum Muslim dan bersihnya hatimu daripada perasaan dengki,inilah yang menyebabkan engkau sampai ke tahap yang terpuji itu.Inilah yang tidak mampu kami lakukan." (Hikayat al-Shahabah  jil.2 hlm 520-521)

                     Hati yang tidak menyimpan perasaan dengki dan prasangka terhadap sesama Muslim pada zahirnya nampak sederhana.Tetapi ia adalah akhlak yang mulia,maka kedudukannya amat tinggi di sisi ALLAH SWT.




Rasulullah s.a.w. bersada yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang hamba akan mencapai kedudukan dan darjat yang tinggi di akhirat kerana akhlaknya yang baik;walaupun ia lemah dalam ibadah."
(Hadis Riwayat al-Tabarani daripada Anas r.a.)